Syaza Travel & Tours
Corporate Offices Kakitangan Berpengalaman

TERMA DAN SYARAT UMRAH ZIARAH

Pemohon adalah dinasihatkan supaya membaca dengan teliti terma dan syarat ini sebelum bersetuju untuk melanggani pakej umrah & ziarah yang ditawarkan syarikat.

Sebaik sahaja pemohon membayar wang pendahuluan (deposit) dan/atau menandatangani persetujuan untuk melanggani pakej umrah & ziarah yang ditawarkan syarikat, maka dengan itu pemohon telah terikat melalui kontrak dengan Syaza Travel & Tours Sdn Bhd dan dianggap telah membaca dan bersetuju dengan semua terma dan syarat ini.

1.0 WANG PENDAHULUAN (DEPOSIT)

Wang pendahuluan (deposit) adalah sebanyak RM 500 bagi setiap orang mesti dibayar sebagai fi penempahan. Baki pembayaran (bayaran penuh) hendaklah dijelaskan dalam masa 45 hari sebelum tarikh penerbangan. Kegagalan mematuhi kehendak ini boleh mengakibatkan pembatalan dan pelucutan deposit.

2.0 CAJ PINDAAN

Apabila pengesahan telah dibuat, apa-apa perubahan yang ingin dibuat oleh pemohon kemudiannya kepada penempahan itu akan dikenakan caj pindaan sebanyak RM 50 seorang bagi setiap perubahan. Tiada perubahan kepada tempahan boleh dibuat oleh pemohon dan perubahan seluruh tempahan merupakan pembatalan tempahan asal dan tertakluk kepada caj pembatalan seperti ditakrifkan dalam dasar pembatalan Akta Industri Pelancongan 1992; Jadual Keempat; 3.2.1 dan 3.2.2.

Walaubagaimanapun, apa-apa permintaan daripada mana-mana pemohon untuk membuat apa-apa perubahan supaya dapat pulang lebih awal atau kemudian daripada kumpulan nya, tertakluk kepada syarat masing-masing syarikat penerbangan.

3.0 CAJ PEMBATALAN

Pembatalan tempahan perlu mesti secara bertulis untuk mengelakkan salah faham (notis bertulis awal perlu diberikan kepada syarikat dengan sebab-sebab yang munasabah). Jika syarikat menerima notis untuk membatalkan tempahan itu 45 hari atau lebih sebelum tarikh berlepas, fi pentadbiran minimum sebanyak RM 30 atau 2% daripada tambang pelancongan (mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi) seorang akan dikenakan. Jika notis pembatalan diterima 44 hari atau kurang sebelum tarikh berlepas, caj yang berikut akan terpakai:

Pembatalan Diterima Caj Pembatalan Bagi Setiap Orang
22-44 hari bekerja sebelum tarikh berlepas Perlucutan deposit pelancongan
15-21 hari bekerja sebelum tarikh berlepas 35% daripada tambang pelancongan
8-14 hari bekerja sebelum tarikh berlepas 50% daripada tambang pelancongan
3-7 hari bekerja sebelum tarikh berlepas 75% daripada tambang pelancongan
2 hari bekerja atau kurang sebelum tarikh berlepas 100% daripada tambang pelancongan

Dasar pembatalan masing-masing syarikat penerbangan bagi promosi tambang istimewa hendaklah terpakai sebagai tambahan kepada caj pembatalan seperti yang dinyatakan dalam fasal 3.2.2 (Catatan: Tiket kapal terbang adalah terhad dan tertakluk kepada Terma dan Syarat Syarikat Penerbangan. Ia mungkin tidak boleh diendorskan, tidak boleh dikeluarkan semula, tidak boleh diberi bayaran balik dan tidak boleh dipindahkan laluan. Sebarang pemindaan kepada laluan atau pertukaran tarikh perjalanan adalah atas risiko beliau sendiri. Syarikat atau ejen bersekutunya tidak bertanggungjawab atas apa-apa kerumitan yang timbul dan perbelanjaan tambahan yang tertanggung).

Lain-lain caj tambahan jika perlu:

  • Bayaran visa penuh sekiranya pemohonan dan bayaran visa telah dibuat (caj bergantung pada harga visa).
  • Bayaran RM 150 dikenakan sekiranya beg dan buku panduan tidak dipulangkan dalam keadaan sempurna.
  • Pelucutan deposit RM 500 sekiranya bayaran deposit tempahan tiket telah dilakukan.

4.0 PEMBATALAN OLEH SYARIKAT

Syarikat berhak membatalkan pakej yang ditawarkan jika berlaku bencana alam, perang, mogok, rusuhan atau atas arahan Kerajaan Malaysia yang di luar kawalan syarikat. Syarikat akan mengesyorkan pakej alternatif, sebaiknya ke destinasi yang sama atau destinasi lain. Sekiranya penumpang memutuskan untuk tidak menerima pakej alternative itu, semua wang yang telah dibayar akan dipulangkan kepada penumpang selepas ditolak fi pentadbiran yang dikenakan bayaran.

Jika keadaan memerlukan syarikat membatalkan lawatan disebabkan oleh kekurangan penumpang atau ketidakmampuan untuk memperoleh kemudahan pengangkutan atau penginapan, syarikat akan memulangkan semua wang yang telah dibayar dan juga membayar pampasan seperti berikut:

Pembatalan Diterima Caj Pembatalan Bagi Setiap Orang
8-14 hari bekerja sebelum tarikh berlepas Bayaran balik penuh tambang pelancongan dan pampasan sebanyak RM50
1-7 hari bekerja sebelum tarikh berlepas Bayaran balik penuh tambang pelancongan dan pampasan sebanyak RM75
Pada hari berlepas Bayaran balik penuh tambang pelancongan dan pampasan sebanyak RM100

5.0 BUTIRAN PEMOHON

Semasa penempahan pakej, semua butiran dan maklumat yang diberikan oleh pemohon kepada syarikat adalah butiran dan maklumat yang digunapakai oleh syarikat bagi menyempurnakan tempahan pakej pemohon. Pemohon dikehendaki menyemak semua butiran dan maklumat yang diberikan sebelum membuat bayaran deposit dan menandatangani persetujuan tempahan pakej dan sekiranya tiada pembetulan dibuat, semua butiran dan maklumat yang diberi dianggap benar dan muktamad. Syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kejadian atau masalah yang timbul akibat daripada kesilapan butiran dan maklumat peribadi yang diberi pemohon.

Pemohon bertanggungjawab untuk mengisytiharkan tahap kesihatan pemohon kepada syarikat sebelum membuat tempahan. Syarikat berhak menolak tempahan pemohon sekiranya tahap kesihatan pemohon didapati membahayakan kesihatan dan keselamatan diri pemohon atau anggota lain dalam kumpulan.

Sekiranya pemohon memerlukan bantuan disebabkan tahap kesihatan pemohon, maka pemohon diwajibkan membawa ahli keluarga lain untuk membantu pemohon sepanjang perjalanan dan membawa sendiri peralatan bantuan seperti kerusi roda atau ubat-ubatan pemohon. Syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga pemohon secara peribadi dan sekiranya perlu syarikat berhak untuk mengenakan bayaran tambahan kepada pemohon untuk mengupah pihak ketiga bagi menjaga pemohon.

6.0 DOKUMEN PERJALANAN

Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menyediakan segala dokumen perjalanan (pasport dan dokumen perjalanan yang diiktiraf bagi tempoh sah sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh kepulangan semula ke negara asal; perakuan vaksin dan kesihatan yang disyaratkan oleh pihak berkuasa negara yang hendak dilawati) yang diperlukan oleh pihak syarikat bagi tujuan permohonan visa atau lain-lain tujuan perjalanan.

Caj perkhidmatan dan fi visa adalah ditanggung sepenuhnya oleh pemohon. Jika atas apa-apa sebab, permohonan visa atau permit keluar yang perlu ditolak, tambang pelancongan selepas fi pentadbiran akan dibayar balik.

Syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti bagi apa-apa perbelanjaan, bayaran ganti atau bayaran balik tambang pelancongan jika mana-mana pemohon tidak dibenarkan masuk atau dideportasikan oleh pihak berkuasa imigresen kerana memiliki barangan yang menyalahi undang-undang atau memegang dokumen perjalanan yang tidak wajar atau sebab-sebab lain atau yang kelakuan dan aktivitinya dianggap oleh kerajaan asing itu boleh mendatangkan keburukan.

7.0 MAKLUMAT LAWATAN DAN HARGA PAKEJ

Harga semua pakej yang ditawarkan oleh syarikat adalah mengikut nilai matawang MYR semasa. Oleh kerana kadar nilai matawang MYR yang sering berubah berbanding US Dollar (USD) dan Saudi Riyal (SAR) atau lain-lain matawang berkaitan, maka harga pakej yang ditawarkan oleh syarikat juga boleh berubah mengikut kadar nilai matawang MYR semasa berbanding nilai matawang asing tersebut.

Harga pakej juga adalah tertakluk kepada pertukaran yang disebabkan oleh kenaikan tambang kapal terbang, kos pengangkutan lain, kadar hotel, kadar pertukaran mata wang asing, cukai kerajaan dan sebagainya. Oleh hal itu, syarikat berhak untuk mengubah mana-mana harga pakej setelah memberi notis tidak kurang dari 7 hari sebelum tarikh penerbangan kepada pemohon.

Harga pakej adalah termasuk:

  • Tiket kapal terbang pergi balik kelas ekonomi (KLIA/KLIA2).
  • Penginapan hotel, berdasarkan: 4/5 sebilik, 3 sebilik, 2 sebilik atau bilik seorang (bergantung pada pakej pilihan pemohon dan harga berbeza bergantung kepada dasar bilik).
  • Menguruskan permohonan Visa Umrah bagi warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Arab Saudi.
  • Pengangkutan, makan dan minum, lawatan bersiar-siar dan perkara lain serta ibadah umrah sebagaimana yang dinyatakan dalam jadual perjalanan.
  • Pelindungan Insuran Takaful berkelompok (umrah) bagi jemaah berumur 3 hingga 65 tahun pada hari penerbangan.
  • Wakil syarikat (dari Malaysia) yang mengiringi dan Mutawwif/ Mutawwifah (di Madinah & Mekah) untuk membimbing jemaah bagi mengerjakan umrah dan lawatan.
  • Beg travel, beg sandang, beg kasut, buku & kursus panduan umrah, 5 liter air zam-zam (**Syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk mengganti sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan air zam-zam di atas apa-apa alasan sepanjang perjalanan dari Tanah Suci ke Malaysia).

Harga pakej adalah tidak termasuk:

  • Semua cukai lapangan terbang dan apa-apa cukai terpakai.
  • Perkhidmatan di lapangan terbang (porter) dan di hotel.
  • Bayaran lebihan timbangan bagasi.
  • Tiket penerbangan domestik atau pengangkutan darat dari negeri tempat tinggal pemohon ke KLIA/KLIA2.
  • Proses mengendors dokumen permohon di jabatan pendaftaran dokumen (JPN/Jabatan Agama/dll) dan Kementerian Luar Wisma Putra.
  • Tambahan caj visa bagi jemaah bukan warganegara Malaysia.
  • Dobi, Makanan dan minuman yang tidak terdapat dalam menu lazim, Lawatan pilihan, perbelanjaan peribadi, sim kad telefon, dan semua perkara persendirian.
  • Penggantian bagasi/ barangan peribadi yang hilang dimana-mana lokasi sepanjang perjalanan dan sepanjang berada di Tanah Suci (Jemaah perlu menjaga beg dan barangan peribadi masing-masing semasa di dalam perjalanan dan di Tanah Suci).
  • Makan minum semasa transit melainkan yang dinyatakan dalam jadual perjalanan.
  • Sebarang perubahan kadar matawang asing dan kenaikan harga tiket penerbangan, cukai lapangan terbang dan/atau surcaj bahan api.

Perkhidmatan pakej yang tidak digunakan

Tiada bayaran balik atau pengurangan harga akan dibuat kepada mana-mana pemohon berkenaan dengan tambang kapal terbang, penginapan, makanan, lawatan bersiar-siar, pengangkutan atau mana-mana perkhidmatan lain termasuk dalam tambang tetapi tidak digunakan oleh pemohon atas sebab peribadi.

Bagasi

Syarikat penerbangan ada memperuntukan elaun bagasi percuma dan kauntum dan syaratnya mungkin berbeza antara satu syarikat kapal terbang dengan yang lain atau antara satu pihak berkuasa lapangan terbang dengan yang lain. Peraturan ini turut terpakai bagi bagasi yang dibawa sendiri di atas kapal terbang. Syarikat akan memaklumkan kepada pemohon tentang syarat berkenaan. Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk membayar cas bagasi sekiranya berlaku lebihan timbangan bagasi pemohon.

Hotel Penginapan

Hotel penginapan adalah berdasarkan: 4/5 sebilik, 3 sebilik, 2 sebilik atau bilik seorang dan ia bergantung pada pakej pilihan pemohon dan harga pakej berbeza bergantung kepada dasar bilik. Jarak dan taraf bintang hotel penginapan yang dilampirkan didalam mana-mana iklan oleh syarikat adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak hotel sekadar rujukan sahaja. Pentarafan hotel dan jumlah bintang mungkin berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Polisi mengenai waktu kemasukan (check-in) dan keluar (check-out) hotel penginapan adalah berbeza-beza mengikut polisi hotel berkenaan.

Syarikat berhak mengubah hotel penginapan dari hotel penginapan yang dinyatakan didalam mana-mana iklan syarikat kepada hotel penginapan yang lain di atas sebab-sebab tiada kekosongan atau masalah kerosakan bilik dengan pemakluman notis awal kepada pemohon sekurang-kurangnya 24 jam dari tarikh masuk hotel. Syarikat akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan hotel penginapan ganti yang setaraf dengan hotel penginapan awal.

Aturcara Pakej

Walaupun syarikat berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik, namun syarikat tidak memberi jaminan bahawa semua aturcara yang disediakan adalah tidak berisiko dan sesuai untuk semua peringkat umur atau individu yang mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik. Pemohon adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengamalkan sikap berhati-hati sepanjang mengikuti pakej yang dipilih.

Aturcara perjalanan pakej yang diberikan kepada pemohon adalah sekadar rujukan sahaja. Aturcara perjalanan yang sebenar mungkin tidak sama dalam urutan seperti yang dilampirkan kerana perubahan cuaca dan keadaan trafik semasa lawatan, juga kerana keadaan yang di luar kawalan syarikat seperti tidak mendapat keizinan lawatan oleh pemerintah negara dilawati atau lain-lain sebab yang membuatkan jadual perjalanan mengalami sedikit perubahan. Syarikat akan memaklumkan kepada pemohon sekiranya ada apa-apa perubahan berlaku di dalam aturcara perjalanan.

Jadual syarikat penerbangan atau keadaan tempatan mungkin memerlukan lawatan bersiar-siar, hotel dan laluan diubah. Jika ini berlaku, syarikat akan membuat perkiraan alternative bergantung kepada keadaan tempatan.

Insurans Perjalanan

Pelindungan Insuran Takaful berkelompok (umrah) bagi jemaah berumur 3 hingga 65 tahun pada hari penerbangan telah termasuk di dalam pakej. Polisi insuran ini akan membayar pampasan bagi Kecederaan Tubuh Badan akibat Kemalangan, yang mana kecederaan ini sepenuhnya dan bebas dari apa-apa sebab lain yang mengakibatkan anda mengalami hilang keupayaan atau menyebabkan anda perlu menjalani perubatan atau berlakunya kematian.

Kematian/ Hilang Keupayaan Kekal Menyeluruh Akibat Kemalangan RM 10,000.00
Perbelanjaan Pengkebumian RM 500.00
Pembatalan atau Pemendekkan Perjalanan RM 1,000.00
Perlindungan Bagasi RM 1,000.00 dengan had RM 200.00 setiap item
Pembayaran Balik Perbelanjaan Perubatan RM 1,000.00
Elaun Hospital RM 2,500.00
Liabiliti Diri RM 50,000.00

** Polisi insuran ini tidak melindungi anda dari sakit/sakit sedia ada, kehilangan wang/ dokumen perjalanan diri, pemindahan perubatan/penghantaran jenazah, kelewatan perjalanan.

** Tuntutan tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan yang dikehendaki oleh syarikat Insuran.

Syarikat sangat mengalakkan pemohon untuk mengambil insuran perjalanan tambahan bagi mendapatkan perlindungan seperti yang dinyatakan di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992. Pemohon boleh merujuk kepada syarikat jenis polisi insuran tambahan yang di tawarkan.

Bagi pemohon yang tidak dilindungi Insuran Takaful berkelompok (umrah) iaitu bagi jemaah berumur bawah 3 tahun dan atas 65 tahun, pemohon adalah di wajibkan untuk mengambil insuran perjalanan pilihan yang di tawarkan pihak syarikat dengan tambahan bayaran yang ditanggung oleh pemohon.

Sekiranya pemohon memilih untuk tidak mengambil insurans perjalanan pilihan, pemohon perlu melampirkan notis bertulis dengan nyatakan sebab-sebab yang jelas tidak mengambil insurans perjalanan pilihan yang ditawarkan syarikat bagi mengelakkan salah faham.

Hak Menolak Tempahan

Syarikat berhak untuk membatalkan atau menarik balik apa-apa jadual perjalanan, atau tempahan yang telah dibuat oleh pemohon atau untuk enggan menerima atau mengekalkan pemohon menjadi anggota pelancongan sekiranya pemohon didapati membahayakan kesihatan atau keselamatan, atau mengurangkan keselesaan atau keseronokan anggota yang lain dalam pelancongan itu.

Syarikat juga berhak membatalkan tempahan jika atas apa-apa sebab, mana-mana pembawa, hotel atau kontraktor lain enggan untuk membernarkan mana-mana pemohon menyertai pelancongan itu. Dalam mana-mana keadaan sedemikian tanggungjawab adalah semata-mata untuk memulangkan semula kepada pemohon wang yang telah dibayar setelah ditolak amaun perkhidmatan yang telah digunakan dan fi perkhidmatan dan fi pembatalan.

Tanggungjawab Syarikat

Syarikat dan ejen bersekutunya akan bertanggungjawab bagi perkhidmatan yang disediakan seperti pengangkutan, penginapan, hiburan dan makanan, sebagaimana yang ditunjukan dalam brosur syarikat. Syarikat akan membayar pampasan yang sesuai yang ditetapkan oleh Pesuruhjaya Pelancongan sekiranya, selepas penyiasatan dibuat, Pesuruhjaya mendapati perkhidmatan yang disediakan tidak seperti yang terdapat di dalam brosur perjanjian.

8.0 CARA PEMBAYARAN

Setiap pembayaran sama ada wang pendahuluan (deposit) atau baki bayaran pakej atau bayaran tambahan lain-lain perlulah di bayar terus ke dalam akaun syarikat:

  • Bank : Maybank (MALAYAN BANKING BERHAD)
  • Cawangan : Bandar Ampang, 68000 Ampang , Selangor, Malaysia
  • Nama : SYAZA TRAVEL AND TOURS SDN BHD
  • No. Akaun :No Akaun: 512174333793
    Swift Code : Mbbemykla
    (Maybank, Kuala Lumpur, Malaysia)

Salinan slip bayaran perlu di berikan kepada syarikat dan seterusnya syarikat akan mengeluarkan resit/ invoice bayaran selepas pengesahan bayaran dengan pihak bank diperolehi.

Pemohon perlu membayar terus ke akaun syarikat seperti dinyatakan dan tidak sesekali membuat mana-mana bayaran sama ada wang pendahuluan (deposit) atau baki bayaran pakej atau bayaran tambahan lain-lain kepada Pegawai Pemasaran (Ejen) lantikan syarikat. Syarikat tidak akan bertanggungjawab sekiranya pemohon membuat sebarang bayaran ke mana-mana akaun lain selain daripada akaun syarikat yang dinyatakan.

Sekiranya pemohon membuat bayaran menggunakan draft bank atau cek persendirian, syarikat berhak menahan penempahan pakej dan resit/ invoice pengesahan bayaran sehingga penunaian bayaran selesai. Syarikat juga tidak akan bertanggungjawab sekiranya pakej yang ditempah pemohon habis dijual berikutan kelewatan penunaian bayaran pemohon yang dibuat melalui draft bank atau cek persendirian.

Syarikat juga berhak untuk menolak pembayaran secara cek persendirian atau draft bank sekiranya pembayaran yang dibuat pemohonan adalah hampir dengan tarikh penerbangan dan memerlukan bayaran segera.


Kami Diiktiraf Oleh

  • IATA
  • MATTA
  • BUMITRA
  • Kementerian Pelancongan Malaysia (KPL)
  • Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
  • Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR)
  • Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU)
  • Kementeriam Haj dan Umra Arab Saudi
  • Malaysia Truly Asia
  • Tourism Malaysia
  • PAPUH Malaysia
ISO 9001

Agensi Pelancongan Yang Bertaraf
ISO 9001:2008

Kepuasan pelanggan adalah fokas utama kami untuk meneroka setiap perubahan yang baru bagi memastikan mutu perkhidmatan kami sentiasa diyakini.

Kaedah Pembayaran
  • VISA
  • MasterCard
  • Maybank2u
  • CIMB Cliks
  • MOLPay
  • FPX
  Jom Langgani Newsletter Kami
Jadilah antara yang terawal untuk mendapat segala Promosi Pelancongan dan Umrah..